03 Ogos 2012

LAMA TAK MENULIS....

Setelah sekian lama tidak mengunjung laman yang dahulunya menjadi tempat mengetengahkan isu-isu dan berita-berita yang berlaku di Betong...

Mohon maaf kepada pengunjung kerana tidak "Update" blog ini...

Jika ada kesempatan mungkin kita akan berusaha menghidupkan blog ini dengan berita-berita semasa. Kesinambungan daripada yang pernah dibuat...

Penglibatan penulis dalam UTUSAN BORNEO mungkin menyebabkan ruangan ini lambat untuk diikuti...

Sekian.... JUMPA LAGI.....

13 Disember 2010

SRI HARTATI BINTI AHMAD DICARI UNTUK PENGESAHAN ANAK ANGKAT

BETONG. Sri Hartati binti Ahmad yang kali terakhir beralamat di Lubok Antu dipohon untuk tampil memberi pengesahan status anak beliau yang dilahirkan pada 13 tahun yang lalu di Klinik Lubok Antu pada tanggal 30 Jun 1997 yang diserahkan kepada Encik Nasir bin Hadami dan isteri beliau Nur’izzati binti Abdullah. Pada ketika itu Nasir bertugas di SMK Lubok Antu.

Menurut Nasir yang berasal dari Kampung Hilir Betong, Sarawak, beliau telah berusaha untuk mencari Hartati, ibu kandung anak beliau Nazarul Aizzat namun hingga kini masih belum dapat ditemui. Aizat yang akan memasuki Tingkatan Dua pada Januari 2011 masih memerlukan ibu kandung beliau tampil memberi pengesahan dan memberi bukti yang kukuh bagi memudahkan permohonan mendapatkan Kad Pengenalan.

Nasir ketika menghubungi penulis memohon dan berharap Sri Hartati dapat tampil dan menghubungi beliau di talian 019-4678089. Beliau yang kini bertugas di SMK Ulu Layar Betong masih memerlukan pengesahan Hartati walaupun anak beliau telah memiliki Sijil Kelahiran yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara.

Justeru, orang ramai yang mengenali Sri Hartati binti Ahmad diminta untuk memberitahu beliau tentang pencarian ini dan dapat menghubungi Nasir secepat mungkin.

WANITA PERLU MENGUASAI ILMU UNTUK PEMBANGUNAN DIRI DAN NEGARA


UNTUK KENANGAN... Rohani menyampaikan cenderamata kepada Hasidah


02 Disember 2010

BETONG. Wanita perlu melengkapkan dan menguasai ilmu untuk pembangunan Negara, serta perlu melengkapkan diri untuk Pembangunan diri dan keluarga kerana ianya amat penting dalam menangani cabaran dan tugasan seharian.

Kenyataan tersebut menurut Yang Berhormat Sharifah Hasidah Syed Aman Ghazali, Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) N7 Semariang ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2010 peringkat Parlimen P.204 Betong hari ini.

Menurut beliau, kerajaan amat perihatin dan sentiasa memberikan yang terbaik dan merancang berbagai program ilmu untuk wanita sertai sebagai mendidik mereka untuk terus meningkatkan pengetahuan yang berguna untuk pembangunan diri dan kemajuan keluarga.

Justeru, Hasidah menyeru kepada semua wanita agar melibatkan diri dalam apa jua program yang dirancang oleh kerajaan serta mampu mengharungi cabaran yang semakin meningkat di negara ini bagi mengelakkan berlakunya masalah-masalah seperti isu Kemiskinan yang melibatkan wanita di bandar dan luar bandar seperti ibu tunggal, Peningkatan kes keganasan juga melibatkan wanita serta wanita sentiasa terdedah dan lebih berisiko dijangkiti berbagai penyakit, tambah beliau.

Program yang bertemakan ‘1 Azam Wanita 1 Malaysia’ yang dianjurkan oleh Jabatan Pembangunan Wanita dengan kerjasama Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga(MPWK) P.204 Betong di adakan bertempat di Dewan Panglima Rentap Betong.

Pada perkembangan yang sama, seramai hampir 200 orang peserta telah menghadiri sesi ceramah yang melibatkan penduduk-penduduk sekitar Betong yang dilangsungkan sebelum majlis tersebut. Pengisian ceramah yang lebih mencakupi tajuk program pembangunan wanita pada masa kini.

Terdahulu, seramai 13 peserta telah menyertai pertandingan masakan yang telah dijalankan pada hari yang sama. Hasidah juga berkesempatan menyampaikan hadiah kepada pemenang dimana Hajah Dayang Jelita binti Abang Zaini telah dinobatkan sebagai johan manakala Puan Rakayah binti Saibi dan Puan Faridah binti Rajuna di tempat kedua dan ketiga.

Penglibatan Jabatan Kesihatan Betong dalam Kempen Derma Darah, Pameran Pembangunan bersama Kraftangan Betong dan Bengkel Jahitan Kemas Kampung Tengah Betong turut menyerikan sambutan Hari Wanita tersebut

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Cik Rohani binti Sejeli, PTS Pejabat Daerah Betong merangkap setiausaha MPWK P.204 Betong, Datin Grace, isteri Residen Bahagian Betong, Ketua-ketua Jabatan dan Ketua-ketua Masyarakat

















KEMBARA SEMARAK HIJRAH 1432KM BINTULU/KUCHING/BINTULU MEMBENTUK PERPADUAN DAN MENGERATKAN PERSAUDARAAN


UNTUK ALBUM..  Rombongan bergambar bersama ajk Masjid Jamek Betong sebagai kenangan

30 November 2010

BETONG. Melintasi perjalanan sejauh 1432KM dari Bintulu ke Kuching seterusnya merentasi 6 Bahagian dinegeri sarawak dengan menyusuri kawasan pesisir ke daerah-daerah kecil negeri sarawak sebelum kembali semula ke Bintulu merupakan satu kenangan yang amat berharga kepada peserta Kembara Semarak Hijrah 1432KM sempena sambutan Maal Hijrah 1432H/2010M peringkat Negeri Sarawak yang akan berlangsung di Bintulu pada 07 Disember 2010 nanti.

Bintulu Bikers Community (BBC) kelab Motosikal berkuasa tinggi telah menyahut seruan Jabatan Agama Islam Sarawak(JAIS) bahagian Bintulu untuk menjadi ‘Duta Maal Hijrah’ pada tahun ini yang akan berlangsung di Bahagian tersebut sambil menjemput rakyat negeri Sarawak untuk sama-sama menghadiri sambutan perayaan itu nanti.

Menurut Presiden kelab berkenaan Ahmad Castello, ini adalah penganjuran pertama yang melibatkan kelab seumpama itu dimana sebanyak 30 buah motosikal berkuasa tinggi yang terdiri daripada ahli kelab berkenaan telah menyertai konvoi Kembara tersebut. Selain itu, penglibatan JAIS Bintulu, Mahkamah Syariah, Jabatan Pertahanan Awam(JPAM) dan Lembaga Pelabuhan Bintulu (BDA)dalam penganjuran bersama program berkenaan merancakkan lagi program tersebut.

Penyertaan ahli BBC pada Kembara ini adalah sebagai melebarkan jaringan pengenalan kelab tersebut kepada umum serta kerjasama berpasukan daripada semua ahli dapat diserapkan dengan penglibatan berbagai bangsa dalam kelab tersebut yang turut sama menyertai kembara tersebut lebih memfokuskan kepada konsep Satu Malaysia, jelas Ahmad.


Justeru, kelab motosikal bukanlah sesuatu yang membuang masa dan merbahaya kerana penglibatan dalam program begini mampu memberi kesedaran kepada ahli yang terlibat dengan lawatan-lawatan ke rumah orang tua dan rumah anak yatim telah memberi keinsafan dalam diri peserta, tambah beliau.


Ahmad berkata demikian ketika rombongan Kembara tersebut singgah di Masjid Jamek, Betong dalam rangka perjalanan pulang setelah empat hari mengharungi perjalanan merentasi sebahagian kawasan Negeri Sarawak.


Rombongan tersebut turut disambut oleh ahli Jawatankuasa Masjid Jamek Betong dimana pada majlis tersebut rombongan kembara tersebut telah menyampaikan cenderamata sebagai kenangan serta sumbangan berbentuk wang tunai daripada ahli kelab tersebut kepada Encik Abdul Rahman bin Ismail Setiausaha Jawatankuasa Pengurusan Masjid Jamek Betong.


Ahli kembara tersebut juga berkesempatan mengunjungi pejabat Residen Betong sebelum berangkat pulang.



30 November 2010

JABATAN KEBAJIKAN MASYARAKAT BETONG BERSEDIA TAMBAH AHLI BRIGED KEBAJIKAN PERDANA(BKP)

PENGHARGAAN... Shamat(kiri) menyampaikan cenderamata kepada Anthony(tengah) sambil disaksikan oleh Friday


29 November 2010

BETONG. “Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Betong(JKM) bersedia menambah keanggotaan Ahli Briged Kebajikan Perdana(BKP) sebagai langkah awal menghadapi bencana”. Menurut Encik Shamat bin Kassim, wakil Penolong Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Betong ketika memberi ucapan aluan pada Taklimat Pengurusan Bencana Kepada Ketua Masyarakat dan Ahli Briged Kebajikan Perdana(BKP) yang telah diadakan di Dewan Layar, Pejabat Daerah Betong semalam.

Taklimat tersebut telah dihadiri seramai 43 peserta yang terdiri daripada ahli BKP, wakil-wakil Jabatan serta Ketua-ketua Masyarakat di Bahagian Betong yang turut menyertai Briged berkenaan.

Dengan objektif bahawa penubuhan BKP yang merupakan badan sukarela yang berperanan membantu JKM dalam mengendalikan sebarang bantuan kepada mangsa bencana semasa bencana menimpa serta sebagai persediaan awal menghadapi bencana.

Hadir merasmi majlis penutupan taklimat berkenaan, Dr. Anthony Valentine Laiseh, Timbalan Residen Bahagian Betong yang mewakili Residen Bahagian Betong menyeru kepada semua peserta dikalangan Ketua-ketua Masyarakat, penduduk kampung serta NGO yang terlibat agar turut bersedia dalam menghadapi sebarang bencana serta musibah yang melanda di kawasan yang terbabit.

Menurut Anthony, BKP ditubuhkan sebagai usaha JKM untuk menggemblengkan semua pihak di peringkat akar umbi khususnya masyarakat setempat dalam usaha menangani isu-isu berkaitan Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat. Penubuhan BKP ini akan mempertingkatkan lagi jaringan kerja sektor-sektor yang bertanggungjawab dalam urusan kerja-kerja kemasyarakatan termasuk Kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor korporat dan orang perseorangan selaras dengan konsep “Kebajikan Tanggungjawab Bersama”. Melalui BKP semua program dan aktiviti di peringkat akar umbi dapat digerakkan secara bersepadu bagi menangani bencana dan bersiap sedia dengan apa jua musibah serta isu-isu berkaitan Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat di peringkat yang lebih awal.

Pada perkembangan yang sama Anthony menjelaskan, antara musibah yang mungkin berlaku ialah banjir umpamanya yang melibatkan kawasan-kawasan yang rendah, dengan penubuhan BKP dan penglibatan ketua-ketua masyarakat dikawasan terbabit akan lebih memudahkan urusan penyediaan bantuan dan mereka juga berperanan menjaga kebajikan kepada mangsa bencana tersebut.

Program sehari tersebut yang telah dikendalikan oleh pegawai yang telah diundang khas daripada JKM Negeri Sarawak dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) bagi memberi penerangan dan tatacara pengurusan bencana, peranan ahli BKP dalam pengurusan bencana dan persediaan yang perlu semasa menghadapi musibah yang sukar untuk diramalkan.

Anthony turut menyampaikan sijil kepada peserta yang terlibat serta menyampaikan cenderamata kepada penceramah pada akhir sesi tersebut.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Encik Friday Belik, Pegawai Daerah Betong, Ketua-ketua Jabatan serta ketua-ketua masyarakat yang dijemput dalam majlis tersebut.

KEMBARA TAKBIR MENGUKUHKAN PERPADUAN MENGERAT PERSAUDARAAN

17 November 2010

BETONG. Sambutan Aidil Adha penuh bermakna bagi masyarakat Islam di sekitar Kampung Melayu Betong dengan pelaksanaan program yang telah dirangka oleh pihak SK Abang Abdul Kadir Betong yang melibatkan penduduk Kampung Melayu Betong dengan pengelolaan Program Kembara Takbir sempena sambutan Hari Raya Aidiladha 2010 semalam.

Program tersebut telah dirancang sepenuhnya oleh Panitia Pendidikan Islam SK Abang Abdul Kadir Betong dengan kerjasama Pengurusan Masjid Jamek Betong dan dibantu bersama oleh guru Kelas Fardu Ain dan Kifayah (KAFA) sekolah berkenaan yang bertungkus lumus merencanakan aktiviti tersebut berjalan dengan jayanya disamping mengajak penduduk kampung turut sama meraikan hari raya Aidiladha pada tahun ini.

Seramai 80 orang pelajar yang terdiri daripada murid Tahun Empat hingga Enam serta melibatkan seramai 25 orang pemimpin Takbir dikalangan guru-guru dan penduduk kampung telah menjayakan program tersebut yang dijalankan pada malam raya bermula jam 8.00 hingga 10.30 malam. Disamping sebanyak 60 buah rumah penduduk kampung Melayu termasuk kawasan perumahan telah diziarahi. Mereka turut bertakbir beramai-ramai.

Antara kampung yang terlibat dalam pelaksanaan aktiviti tersebut ialah Kampung Masjid Betong, Kampung Tengah Betong, Kampung Hilir Betong, Kampung Baru Hulu Betong, Kampung Baru Hilir Betong dan beberapa buah rumah di kawasan perumahan di sekitar Betong.

“Dengan sambutan yang amat menggalakkan begini, kita akan meneruskan aktiviti seumpama ini pada masa-masa yang akan datang. Bukan sahaja pada Hari Raya Aidiladha malahan Hari Raya Aidilfitri juga akan diteruskan”. Menurut Abang Udai bin Abang Achang, Guru Besar SK Abang Abdul Kadir Betong.

“ Kita amat kagum dan mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dengan penyertaan penduduk kampung yang telah bekerjasama dalam meneruskan aktiviti yang telah dirancang. Program begini bukannya baru bagi kita disini malahan telah sekian lama telah dilupakan memandangkan kekurangan tenaga untuk menggerakkan program seumpama ini dan bagi mengaktifkan semula aktiviti tersebut jawatankuasa pengelola telah bertungkus lumus meneruskan usaha murni tersebut”.

Amalan yang biasa dilakukan ialah kita berziarah dari rumah kerumah pada hari raya dan itulah yang telah diterapkan dalam program yang dijalankan sambil rombongan bertakbir beramai-ramai. Dalam peredaran zaman yang kian berubah, konsep dan amalan umat Islam ketika merayakan sambutan perayaan hari raya tidak akan lupus dengan pendedahan yang berterusan dan diamalkan dari semasa ke semasa. Perpaduan kaum turut dapat dijalinkan.

“Itulah usaha kita dan dengan niat yang murni, program kita telah berjaya dilaksanakan”. Tambah Abang Udai yang juga pengerusi pengelola program tersebut ketika ditemui selepas majlis tersebut.

Penutupan program telah diadakan di Masjid Jamek Betong dengan semua peserta turut berkumpul sambil menikmati juadah yang telah disediakan oleh penduduk-penduduk kampung turut mengambil bahagian dalam program tersebut.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Tuan Imam Masjid Jamek Betong, Abang Dalhan bin Abang Yaman, Ketua Kampung Baru Hulu Betong, Wan Ahmed bin Wan Chee, Ketua Kampung Hilir Betong Segara bin Dukari, Pengerusi Pengurusan Masjid Jamek Betong Kon Spawi bin Yahu, Imam-Imam Surau, serta penduduk kampung.

PUSAT KESIHATAN BAHAGIAN BETONG (PKB) ANJUR GOTONG ROYONG

08 November 2010

BETONG. Seramai 45 kakitangan Pejabat Kesihatan Bahagian Betong telah menyertai gotong royong bagi membersihkan kawasan pejabat berkenaan serta menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes di persekitaran kawasan terbabit baru-baru ini.

Program tersebut juga sebagai menyahut seruan Kementerian Kesihatan Malaysia yang mengarahkan untuk mengadakan gotong royong bagi mencegah dan menghapus pembiakan nyamuk sekaligus menghindari penyakit yang berkaitan dengan nyamuk.

Program tersebut merupakan kali kedua aktiviti yang sama telah dijalankan dipejabat berkenaan dan ianya sebagai langkah awal mencegah pembiakan nyamuk dan mencantikkan kawasan di luar pejabat berkenaan dengan menanam bunga serta turut membersih sistem perparitan di kawasan terbabit.

Dr Jeffery Stephen, Pegawai Kesihatan Bahagian Betong telah mengetuai gotong royong berkenaan. Beliau mengingatkan kepada semua warga jabatan berkenaan supaya sentiasa menjaga kesihatan dan mementingkan kebersihan serta mengamalkan cara hidup yang sihat agar jabatan kesihatan akan terus menjadi contoh kepada masyarakat setempat tentang amalan kebersihan demi menjaga kesihatan semua warga Betong selepas ini.

Menurut Jeffrey, amalan kebersihan seharusnya dititikberatkan bukan sahaja pada peringkat pejabat malahan sentiasa menjadi amalan pada setiap masa oleh semua pihak kerana ia dapat mengelak daripada penyakit.

Aktiviti yang mendapat sambutan dikalangan kakitangan pejabat berkenaan akan disebarkan kepada semua jabatan-jabatan yang ada di Betong amnya bagi sama-sama membasmi pembiakan nyamuk yang boleh mengundang penyakit jelas Jeffrey.

Keadaan persekitaran yang bersih akan lebih menceriakan tempat dan suasana kerja agar lebih kondusif dan memberi perangsanag kepada kakitangan pejabat berkenaan untuk menunjukkan prestasi yang lebih cemerlang dimasa-masa akan datang tambah Jeffrey.

Pada akhir majlis berkenaan turut diadakan jamuan untuk semua kakitangan pejabat berkenaan yang hadir dalam gotong royong tersebut.